Mount Berembun Chemerung 2011

January 30, 2016


Hari Pertama

Seawal subuh kami tiba di kawasan rekreasi air terjun chemerung. kemudahan yang tersedia boleh diklasifikasikan kelas pertama. suraunya dan tandasnya yang bersih benar-benar memberikan kepuasan bagi setiap pengunjung yang datang. bayaran yang dikenakan boleh dikatakan berbaloi dengan kemudahan yang disediakan. setelah selesai solat subuh dan mengagihkan nasi goreng yang dibeli semasa perjalanan tadi, kami mula bersiap-siap untuk memulakan pendakian. seperti kebiasaan setiap pendakian terutamanya melibatkan kumpulan yang besar sebegini pastinya didahulukan dengan sedikit briefing serta stretching. ramai diantara ahli ekspedisi adalah pendaki-pendaki yang baru mula berjinak dengan sukan aktiviti mendaki gunung. setelah selesai briefing, kami mula meninggalkan kawasan rekreasi dan pendakian pun bermula.

Diawal pendakian, kepenatan pasti terasa, terutamanya bagi yang kurang bekalan stamina dan fitness yang secukupnya. namun, pendakian diteruskan mengikut keupayaan masing-masing.  

lebih kurang jam 3 petang kami akhirnya tiba di puncak berembun yang berketinggian 3000 kaki dari paras laut. desiran angin yang menerpa pucuk-pucuk daun dan keindahan panorama bonzai dipuncak memberikan sedikit kepuasan kepada setiap pendaki. kami tidak lama dipuncak kerana bimbang akan tiba lewat di kem seterusnya iaitu lata lesung. perjalanan turun ke kem lata lesung tidak lah memenatkan cuma kami harus berhati-hati kerana perjalanan turun agak licin kerana trek yang basah dan sedikit berselut. kurang lebih 2 jam perjalanan akhirnya kami tiba di trek yang agak landai. kami cuma perlu berjalan disepanjang tebing anak sungai dan sesekali kami perlu melintasi sungai ke seberang dan meneruskan perjalanan. kami agak tidak bernasib baik kerana kerana hari senja hampir berlabuh dan tidak dapat kami menikmati keindahan trek berkenaan. dibawah samar cahaya bulan kami meneruskan perjalanan ke lata lesung. setibanya di lata lesung kami terus memasang khemah dan ada yang sudah mula menyiapkan juadah malam. aku tidak pasti apa aktiviti yang dilakukan rakan-rakan ekspedisi. setelah membersihkan diri aku terus masuk khemah dan terus tidur melayan kedinginan malam yang menggigit. sesekali aku dikejutkan oleh hubby untuk makan malam dan aku terus melayan lena sampai ke pagi.

Hari kedua (lata lesung)

lena yang diulit dingin angin rimba dan deruan air sungai yang mengalir membuatkan masing-masing hanyut dibuai mimpi. terasa berat untuk bangun. namun keinginan untuk menyaksikan panorama matahari terbit menggagahkan diri untuk melawan kedinginan yang menggigit sejuk tubuh. ahli-ahli ekspedisi mengikuti en.khairul ke kem lansir. namun aku dan pengiring yang lain hanya tunggu di lata lesung. kami bangun untuk menyediakan sedikit sarapan pagi seperti kebiasaan. tiada menu istimewa. hanya sosej dan air teh sudah cukup membuatkan perut terasa kenyang. 

Setelah masing-masing pulang, masing-masing ghairah menjamah kedinginan air. begitu asyik dgn pelbagai ragam dan sesekali lensaku sempat merakam aksi-aksi sepontan ahli-ahli ekspedisi yang keseronokan bermain di air. aku cuma tersenyum mengingatkan kenangan di awal penglibatan aku dengan aktiviti sebegini. rindu pada teman-teman sependaki yang sama-sama mencoret kenangan pertama di gunung. 

Jam 12 tengahari kami mula meninggalkan kem lata lesung menuju ke kem lansir. sempat menghayati panorama disitu buat seketika lalu kami terus bergerak meninggalkan kem lansir ke kem balak. perjalanan yang santai namun cukup memenatkan bila mendaki dan lelah pulih sedikit apabila menuruni permatang ..perjalanan ke sungai bangang tidak lah terlalu memenatkan. lebih kurang sejam perjalanan kami tiba di sungai bangang. bagiku namanya tidak sedikitpun menggambarkan keindahan sebenar sungai ini. kehijauan airnya disamping lumut-lumut yang menghijau melengkapkan lagi. ianya bagaikan potret yang andai bisa aku lakarkan pasti aku bingkaikan didinding hati. betapa indahnya dan dingin air yang mengalir dari gunung membuatkan jiwa aku kagum. aku pernah disini empat tahun yang lalu, tapi aku lupa untuk menghayati betapa sungai ini begitu indah. begitu memikat sesiapa sahaja yang singgah disitu.


Ni lah sungai bangang yg pernah di viralkan page fizo omar..
 
Hari ketiga (kem balak)

Rasionalnya kami memilih untuk berkhemah disini pastinya kerana keindahan sungainya dan didalamnya berenang bebas si ikan kecil. seawal pagi sudah ada yang mula bangun untuk menangkap ikan. tanpa sebarang peralatan yang sesuai, hasil tangkapan pastinya sedikit namun cukup untuk memuaskan hati. dapat makan ikan segar dari sungai mungkin satu kepuasan.
Trip kali ini lebih santai kerana kami sudah memerah keringat hari sebelumnya. Trek turun hari esoknya tidak lah memenatkan. 


Hari terakhir..


Setelah mengemas apa yang patut, kami mula memulakan perjalanan turun dari kem balak ke tempat parking kereta air terjun chemerung. ada beberapa kali kami berhenti untuk rehat dan belajar sedikit sebanyak tentang tumbuhan herba disepanjang trek. Kali ni kami tidak melepaskan peluang untuk berhenti seketika di puncak air terjun chemerung yang sungguh menakjubkan.
inilah dia air terjun chemerung yang dikatakan tertinggi di asia tenggara. namun aku tdiak pasti kebenarannya. yang pastinya ianya sangat memukau dan menakjubkan. percikkan airnya halus ibarat kapas. seperti biasa aku dan beberapa yang lain tidak melepaskan peluang untuk mengabdikan panorama ini di hujung lensa.

cintaku tak pernah kehausan rinduku tak pernah terpadam. cintaku pada hutan dan kehijauan flora dan uniknya fauna sentiasa mengajak aku menziarahi khazanah rimba ini. penat lelah tidak pernah mematahkan semangatku. demi cintaku yang mendalam demi rinduku. benar, aku tidak pernah puas. setiap gunung mempunyai keunikan yang berbeza. masing-masing punyai ciri istimewa. Begitulah berakhirnya sebuah perjalanan meredahi rimba..penat lelah demi sebuah pengalaman yg pastinya tidak ternilai.



You Might Also Like

0 comments

Popular Posts

Like My Page

Text Me

Subscribe