Akhirnya kau kembali kepadaNya

August 30, 2009

Hari yang redup dan suram membimbangkan aku umpama sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Hati aku turut resah. Sudah 2 malam tidur aku tak lena dan berasa begitu sensitif. Rindu aku semakin membuak-buak. Sejak menerima sms dari kakak seawal 3.45 pagi, jantungku berdegup pantas. Hatiku bertambah gusar dan sesekali air mata membasahi pipi.

Seperti biasa hari tu aku membuat kerja-kerja rumah dan bersembang dengan ibu mertua didapur. Aku memaklumkan pada ibu mertua bahawa keesokan hari aku akan pulang ke kampung dengan alasan emak rindukan aku dan inginkan aku berada disampingnya. Melihatkan keadaan mak yang tidak sihat, aku rasa sangat penting untuk aku pulang merealisasikan hasrat mak. Mujurlah suamiku memahami dan mengizinkan aku pulang. Kebetulan pula mak dimasukkan ke wad atas sebab paru-parunya dan sedikit masalah buah pinggang. Memandangkan mak sering dimasukkan ke wad dan keadaan dia tidaklah teruk, aku tidak terburu-buru untuk pulang. Lagipun aku telah merangcang untuk pulang agak lama. Jadi aku meminta kakak dan abang untuk menjaganya dahulu .

Sedang asyik bersembang, bapa mertua tiba-tiba muncul lalu menghulurkan telefon bimbitnya. Katanya ada panggilan dari abang long iaitu abang ipar aku.aku terus menjawab panggilan itu. Abang long meminta aku menelefon abang aku. Aku tanpa banyak soal terus meluru ke bilik aku ditingkat atas mencapai telefon bimbit. Belumpun sempat aku mendail nombor abang, sepupu aku menelefon aku memaklumkan keadaan mak agak kritikal dan meminta aku pulang secepat mungkin. Dengan tenang aku segera memasukkan baju kedalam beg dan meminta bapa mertua hantarkan aku ke hentian bas. Selang 5 minit kemudian aku dihubungi pula adik kepada sepupu aku dalam menangis memberitahu mak aku sudah tidak sedarkan diri dan dipenuhi jururawat dan doctor menggunakan mesin bantuan. dia minta aku pulang segera dan beritahu mak sangat rindukan aku. “pulanglah cepat”. Kata sepupu dalam keadaan menangis. Tinggal sedikit harapan dan airmata tak tertahan aku masih lagi meneruskan persiapan untuk pulang dalam kadar begitu pantas. Tidak pun sampai 1 minit kakak menghubungi aku memaklumkan mak sudah tiada. Harapanku hancur. Terduduk aku dilantai dengan deraian airmata yang tidak mampu lagi aku bendung. Alam maya terasa gelap gelita. Pagi 25hb ogos seorang ibu yang sangat aku sayang pulang ke Rahmatullah.

Untuk mengurangkan rasa sedih dan terkejut dengan berita itu, aku membacakan yassin buat mak sementara menunggu suamiku pulang ke rumah. Lebih kurang jam 12 pagi kami mula bertolak dari kota bharu ke kemaman. Sekali lagi jiwa aku terganggu takut-takut tidak sempat melihat jenazah mak sebelum dikebumikn. Ini kerana menurut abang mak mewasiatkan supaya jika dia pergi kebumikanlah dia secepat yang mungkin. Jadi aku redha jika tidak sempat menyaksikan pengebumiannya. Namun aku tidak putus berdoa agar Allah S.W.T memberikan aku rezeki sempat menemui jenazah mak walaupun berat hati aku mengatakan aku tidak sempat.

Lebih kurang 4 jam perjalanan. Alhamdulillah perjalanan kami agak sempurna dan begitu lancar. Aku tiba sebelum waktu asar. Aku terus naik kerumah. Ketika itu jenazah mak sedang dimandikan. Oh tuhan yang maha kaya, senyum dibibir itu benar-benar membahagiakan aku. Tenang wajah mak seolah-olah sedang tidur dengan lenanya mengurangkan rasa sedih dan terkilan aku.
Setelah dikapankan, aku duduk disamping jenazah mak dan mencium pipi dan dahinya buat kali terakhir. Wajah suci mak membuatkan aku sangat bersyukur. Perginya mak dalam bulan ramadhan jelas sekali rahmat dari Allah S.W.T. aku relakan kau pergi mak. Penderitaan sakitmu selama ini yang kami tidak mampu tolong kini berakhir. Aku tahu penderitaan itu bisa membasuh dosa. Dan berakhirlah semua bila tiba waktu yang ditetapkan. Semoga segala apa hasratmu telah tercapai dan amanahmu akan kami laksanakan.
Inginmu anak-anak bersatu
Inginmu anak-anak bahagia tidak berpecah
Inginmu anak-anak hidup sempurna
Inginmu anak-anak saling sayang


Alfatihah untuk arwah mak….

You Might Also Like

1 comments

Popular Posts

Like My Page

Text Me

Subscribe