Mandi Angin wif PERSI

May 05, 2006

Day 1st


Aku, ipin dan lan dibawa oleh abang Ruzilan seorang pegawai perhutanan di dungun ke Kongsi balak di sungai Loh hulu dungun. Kami melalui jalan durian mentagau untuk sampai ke durian mas. Kami tiba di kongsi balak itu lebih kurang jam 7.30 malam. Ketika itu bas UiTM Perak yang membawa ahli ekspedisi lain belum pun tiba. Ipin dan Lan menghabiskan masa bersembang dengan pekerja-pekerja di kongsi balak. Aku pula tolong tukang masak kat situ menyediakan juadah malam buat rombongan yang akan tiba nanti..


Jam mencecah ke pukul 8 malam dan ahli ekspedisi dari UiTM Perak akhirnya tiba. Waktu itu aku masih belum mengenali ramai diantara ahli lain. Cuma beberapa orang sahaja. setelah selesai menjamu juadah malam kami mengambil port memperkenalkan diri masing-masing. Pada mulanya aku agak malu untuk join mereka. Maklumlah, aku rase macam outsider sangat. Aku bukan dari UiTM Perak malah tak pernah belajar disitu. Tapi memandangkan keramahan mereka, kuranglah rasa segan.


Selepas selesai memperkenalkan diri masing-masing, kami pun masuk tidur di pondok kongsi balak itu dimana kami disediakan tempat untuk tidur. Kami diminta tidur lebih awal kerana keesokan harinya kami akan memulakan ekspedisi mendaki gunung mandi angin.




Day 2


Setelah selesai menjamah breakfast, kami bersedia menunggu pacuan 4 roda yang akan membawa kami ke kaki gunung mandi angin. Tidak lama kemudian pacuan 4 roda yang disediakan oleh perkayuan negeri terengganu akhirnya tiba. Lebih kurang 5 buah kesemuanya. Inilah kali pertama aku menaiki pacuan 4 roda melalui jalan balak untuk sampai ke kaki gunung. Dan gunung ini ekspedisi kedua untuk aku. Disepanjang jalan balak, kami dapat melihat suasana hutan menghijau. Bukit bukau disekeliling laluan. Pokok-pokok hutan yang masih semulajadi. Disini tiada penempatan orang asli ataupun sesiapa. Hutan ini agak jauh dari kawasan penempatan. Untuk kali pertama aku rasa amat seronok. Kami menyanyi-nyanyi disepanjang perjalanan bagi menghilangkan kebosanan. Umur kami yang agak sebaya memudahkan interaksi antara kami.


setelah hampir 3 jam akhirnya tibalah kami di kaki gunung mandi angin. Sebelum memulakan pendakian kami mendengar sedikit sebanyak taklimat yang disampaikan pakcik Mail selaku guide. setelah doa dibacakan oleh Yazid. Dengan lafaz bismillah kami memulakan pendakian. Kami melalui trek balak sebelum meredahi trek hutan yang lebih sejuk. Cuaca hari itu agak baik pada mulanya. Di permulaan trek terdapat banyak pokok palas yang besar. Kami mengambil kesempatan untuk bergambar. Untuk menghilangkan rasa penat, aku menikmati sepenuhnya keindahan pokok-pokok hutan disitu. Kelihatan trek hutan mandi angin ini agak semulajadi. Tiada pokok resam. Ini bermakna hutan ini masih baru ataupun dikenali sebagai hutan dara. Disepanjang trek aku tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar herba-herba ataupun Sebarang flora yang kelihatan unik. Apa yang mengingatkan aku tentang hutan ini adalah, pokok berduri ada disepanjang trek yang sedikit menyukarkan perjalanan kerana beg kami asyik tersangkut disebabkan duri itu. setelah hampir beberapa jam perjalanan ada diantara kami yang kepenatan termasuklah aku sendiri. Kami pun berehat sebentar di satu kawasan yang sedikit lapang. Aku duduk disebatang pokok besar yang tumbang sambil merehatkan diri. Namun kami tidak menyediakan juadah tengahari. Perjalanan diteruskan beberapa minit kemudian. Disebabkan hutan ini jarang diterokai, kami tidak punyai tempat-tempat khusus(kem) untuk berehat. Kami tetap meneruskan perjalanan ke satu kem. Aku tidak berapa pasti kem itu. Tiba-tiba kami diberitahu dimana kami akan mendaki terus ke puncak mandi angin kerana kem yang dikatakan tidak ditemui. Sebelum beberapa jam meneruskan pendakian ke puncak gunung, kami mengambil sedikit bekalan air bersih dari sebuah air terjun yang sedikit sukar untuk sampai kesitu. Hanya beberapa orang diantara kami turun kesitu untuk mendapatkan bekalan air bersih. Kami membawa air dari situ kerana bimbang di puncak tiada air. Kata abang Ruzilan (pegawai perhutanan dungun) dipuncak ada sedikit air cukup untuk memasak.. setelah itu kami berusaha untuk sampai ke puncak sebelum matahari terbenam. Kurang 2 jam sebelum sampai dipuncak hujan gerimis sekali sekala lebat dan kembali reda seketika kemudian. Sesampainya di puncak kabus sedikit tebal menghalang pandangan. Aku mula kaku disebabkan cuaca agak sejuk. Maklumlah mandi angin. Angin menghembus menyebabkan aku kesejukan, Puncak mandi angin agak kecil. Hanya mampu menampung sebuah khemah. Jadi kami terpaksa berkhemah di kawasan bawah sedikit. pengalaman aku masih belum mencukupi dan keadaan disitu agak menguji mentalku. Waktu itu, mereka memberitahuku, kami akan berkhemah disitu. Pada mulanya terkejut juga aku. Memandangkan kawasan itu agak terhad dan pokok-pokok yang tidak begitu besar masih tegak berdiri disekitar kawasan dimana kami akan memasang fly dan groundsheet. Tanahnya juga agak lembab tidak memungkinkan kami menghamparkan groundsheet begitu sahaja. Beberapa member ekspedisi sudah mula menebang beberapa batang pokok kecil untuk dijadikan alas. Tanah disitu benar-benar berselut. Aku, Ipin, Lan dan Kak Syafa duduk di Fly berasingan dengan yang lain. Lan dan ipin memasang hamock kerana ruang agak sempit. Aku dan kak syafa tidur dibawah. Satu lagi situasi yang tidak akan aku lupakan sewaktu terpaksa meminum air lopak yang dibuat air horlics. Erm,,enak rasanya. Malam itu ipin dan lan masak ayam sweet sour. Erm, enak juga lah juadah malam kami. Selepas itu, kami hanya bersembang untuk menghabiskan masa lapang tidak sabar untuk membiarkan waktu malam berlalu. Kepenatan dan angin yang berhembus agak kuat membuatkan aku rasa mengantuk.




Day 3


Siulan mergastua membuatkan lena aku tidak lama. Walaupun kesejukan masih menggigit sejuk tubuhku, namun keghairahan menonton panorama di puncak memaksakan diri yang masih malas untuk bangun, mengejutkan Ipin dan Lan. Waktu itu sudah ramai member2 ekspedisi yang sibuk merakam gambar kenang-kenangan. Ada pula yang hanya merehatkan diri sambil melontarkan pandangan nun jauh memerhati bukit bukau menghijau yang menjadi landskap semulajadi gunung mandi angin. Beberapa ahli yang lain sibuk memasak cenkodok sebagai breakfast. Argh, hatiku bertambah terpikat dengan aktiviti sebegini. Rasa ingin diteruskan meneroka selagi terlarat. Manakan tidak, pemandangan yang terlakar indah lukisan alam ciptaan Allah S.W.T. tiada insan yang tidak terpikat dengan keindahan ini.


Sayup-sayup pemandangan, luas terbentang lukisan indah terukir persis sekeping canvas yang didalamnya terselit beribu rahsia untukku calitkan dalam buku memori yang masih mendambakan warna-warna alam. Bukit Bakau bagaikan tersusun indah beralaskan permaidani hijau tanpa sedikitpun penerokaan mencacatkan pemandanganku. Dari puncak ini, kami dapat melihat pemandangan dari sebelah Pahang dan sebelah Terengganu. Puncak ini terbahagi diantara dua buah negeri, Pahang dan Terengganu. Puncak mandi angin adalah puncak kedua tertinggi di Terengganu selepas puncak Lawit di Hulu Terengganu. Puncak yang berketinggian 4800 kaki ini mempunyai keistimewaanya yang tersendiri. Ianya masih belum diterokai oleh banyak kumpulan pendaki. Di puncaknya juga ada terdapat, pokok payung ali dan payung Fatimah yang tumbuh merata di kawasan puncak yang agak terhad ini.


waktu itu, aku tidak melepaskan peluang untuk berkenalan dengan guide yang membawa kami dan menemuramah mereka. Apa yang membanggakan, kata pakcik Mail, kami adalah group pertama yang mendaki ke gunung ini. Group yang terakhir masuk ke hutan ini adalah pada tahun 2005 dimana sekumpulan pengkaji alam membuat kajian saintifik terhadap flora-flora yang ada disini. Menurut cerita abg Fadhli dan pakcik Mail lagi, gunung ini asalnya dari nama lamanya gunung chelah kemudian ditukar nama kepada mandi angin. Bertanya kenapa diberi nama sebegitu, abg Fadhli menceritakan, biasanya waktu pagi, apabila bangun dari tidur, kita akan dengar seolah-olah hujan turun. Rupa-rupanya embun yang ada diatas helaian daun jatuh bagaikan hujan apabila ditiup angin. Oleh itu gunung ini diberi nama baru sebagai gunung mandi angin.


Sebagai anak jati Terengganu aku rasa agak bangga kerana dapat mendaki gunung yang terletak dalam negeriku sendiri. Biarpun tidak setinggi gunung yang terletak di negeri Perak mahupun negeri Pahang, aku rasa puas dengan keunikannya yang tersendiri. Lagipun gunung ni masih belum diterokai oleh kebanyakan kumpulan pendaki. Namanya juga masih baru. Kalau dulu aku hanya tahu gunung tebu. Tapi sekarang baru aku tahu masih terdapat gunung lain di negeri ini seperti, Gunung Lawit, Gunung Gagau di Kenyir dan lain-lain.


Hujan mencurah agak lebat bagaikan sumber rezeki mencurah disaat kami kekurangan sumber air. Kami menggunakan air hujan itu untuk memasak dan sebagainya. Kami bersantai seharian di puncak. Menghabiskan masa dengan bersembang dan berposing dengan pelbagai aksi. Kami sepatutnya masih mempunyai satu lagi perjalanan. Tapi aku tidak pasti kemana. Mungkin ada rahmat disebaliknya, kami tidak dapat meneruskan aktiviti itu. Mungkin kerana guide yang membawa kami tidak berapa arif dengan trek mandi angin ini. Hutan ini baru diterokai. Guide yang sepatutnya membawa kami ke sini adalah seorang staff UiTM Dungun iaitu En.Othman. tetapi keadaan tidak membenarkan dia membawa kami, jadi digantikan dengan pakcik Mail dan Abang Fadhli serta kak Linda yang turut sama mengetuai ekspedisi ini.


Pada sebelah malamnya, hujan turun mencurah lebat dan berhenti beberapa ketika kemudian. Bunyi guruh sedikit sebanyak meresahkan aku. Kali ni aku dan kak syafa tidur atas hamock. Ipin dan Lan pula tidur di bawah. Jam menunjukkan pukul 2 pagi, suasana sedikit haru, waktu itu ramai diantara kami yang tidak dapat tidur, khemah-khemah dipenuhi air, alhamdulillah tempat kami agak selamat. Kayu yang disusun membuatkan air tidak membasahkan groundsheet kami.


Pada malam itu juga, Zaidi seorang ahli ekspedisi kami yang terkena hyphotemia. Selepas hampir setengah jam lebih, dia akhirnya berjaya diselamatkan dan sedar kembali.




Day 4th


Selepas mengenakan uniform dan bersiap-bersiap untuk trekking turun dari gunung, kami berposing buat kali terakhir sebelum meninggalkan kem ini. Oleh kerana tempat kami berkhemah ini tiada nama lagi, jadi dengan bangganya kami menamakan kem ini sebagai kem PERSI. Pada lebih kurang jam 8.30 pagi, kami pun beransur-ansur meninggalkan kem PERSI ini yang sudah pasti meninggalkan kesan sejarahnya yang tersendiri. Di sini tersimpan berjuta rahsia alam bersembunyi di sebalik tabir belantara hijau yang memukau pasti membuatkan kami rindu setelah tiba waktu melangkah pergi


Hujan turun mencurah yang agak lebat memaksa kami melanjutkan hari ekspedisi kerana pacuan 4 roda yang sepatutnya mengambil kami hari ini tidak dapat masuk mengambil kami kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Oleh itu, Kami terpaksa berjalan hampir 30km meredahi jalan balak untuk sampai ke satu tapak kongsi balak yang telah ditinggalkan. Di situ, dikatakan terdapat anak sungai yang mengalir ke sungai loh. Di sekitar jalan kami disajikan dengan landskap indah bukit bukau dan pokok-pokok hutan seperti pokok pisang hutan yang sedikit sebanyak meredakan kebosanan perjalanan kami. Setelah hampir 4 jam lebih, akhirnya kami pun tiba di kongsi balak lama itu. Waktu itu sudah maghrib. Kedengaran deruan air. Terasa tidak sabar kerana sudah hampir 3 hari tidak mandi. Walaupun sejuk, kami tidak melepaskan peluang untuk bermandi-manda disitu.




Day 5


Jam 11 pagi, kami dibawa keluar dari tapak kongsi balak lama itu menuju ke hutan rekreasi chemerung dimana disitu bas UiTM Perak sedia menunggu ketibaan ahli PERSI. Aku, Ipin dan Lan pula menunggu Pakcik Saad seorang pekerja perkayuan untuk membawa kami pulang. Di hutan Chemerong, selain membersihkan diri, kami juga tidak melepaskan peluang bermandi manda dan menikmati air terjunnya yang dingin dan semulajadi.

You Might Also Like

0 comments

Popular Posts

Like My Page

Text Me

Subscribe